Saturday, 13 October 2012


Sunat sujud Tilawah

by Nur Haibati on Saturday, April 23, 2011 at 11:12am ·
    Sujud Tilawah ialah sujud bacaan.Disunatkan sujud bagi yang membaca ayat-ayat Sajdah 
Firman Allah s.w.t;...apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (Al-Rahman),mereka segera sujud serta menangis". Sabda Rasulullah s.a.w: Daripada Abu Hurairah,telah berkata Nabi s.a.w. "Apabila manusia membaca ayat sajdah,kemudian ia sujud,menghindarkan syaitan dan menangis ia serta berkata:Hai celaka!Anak Adam (manusia)disuruh sujud,lantas ia sujud,maka baginya syurga dan saya disuruh sujud juga ,tetapi saya enggan(tidak mahu),maka bagi saya neraka.(Riwayat Muslim)"

Bacaan Sujud Tilawah
"Sujudlah muka dan seluruh diriku kepada Allah yang telah menciptakannya dan membentuk rupanya,juga telah mencipta pendengaran dan penglihatanya(dengan perantaraan telinga dan mata),dengan kuasa Allah jugalah(pendengaran dan penglihatanku terpelihara selamanya)".
Syarat-syarat sujud Tilawah(di luar sembahyang)
1. Suci daripada Hadas dan najis
2.Menghadap Kiblat
3.Menutup aurat
Apabila orang yang membaca ayat-ayat Sajdah sujud,maka mereka yang mendengar atau makmum hendaklah sujud,tetapi apabila yang membaca tidak sujud yang mmendengar tidak pula disunatkan sujud.
Sabda Rasulullah s.a.w:Dari Ibnu Umar(r.a) katanya:"Pernah Rasulullah s.a.w membaca:ayat Sajdah"dalam masa kami berada disisinya lalu baginda sujud dan kami pula sujud bersama-samanya serta kami berasak-asak sehingga setengah kami tidak dapat tempat untuk meletakkan dahinya semasa sujud".
Cara Perlaksanaannya
        Sujud Tilawah ini ialah sekali sujud,jika dilakukan dalam sembahyang semasa seseorang menjadi Imam atau sembahyang seorang diri,wajib ia niatkan sujud didalam hati,lalu sujud.Kalau ia makmum,hendaklah ia menurut apa yang dilakukan oleh Imamnya
Rukun Sujud Tilawah(di luar sembahyang)
Empat perkara:
1.Niat
2.Takbiratul Ihram
3.Sujud sekali sahaja
4.Salam
Ayat-ayat Sajdah dalam Al_Quran ada lima belas sebagaimana diterangkan dalam Hadis Rasulullah s.a.w seperti berikut:Dari Amru Ibnu 'As r.a. "bahawa Rasulullah s.a.w menerangkan kepada lima belas ayat Sajdah" yang tersebut dalam Al-Quran....."
1. Surah Al A'raf ayat 206
2.Surah Ar-Ra'du ayat 15
3.SurahAn-Nahl ayat 50
4.Surah Al-Isra' ayat 109
5.Surah Maryam ayat 58
6.Surah Al-Haj ayat 18
7.Surah Al-Haj ayat 77
8.Surah Al-Furqan ayat 60
9.Surah An-naml ayat 26
10.Surah As-Sajadah ayat 15
11.Surah Sod ayat 24
12.Surah Ha Mim ayat 38
13.Surah An-Najm ayat 62
14.Surah Anshiqaf ayat 21
15.Surah Alaq ayat 19
Ku bermohon padaMu Ya Allah,Engkau muliakanlah aku,ibubapa aku,suami aku,teman-temanku,jiran-jiranku,guru-guruku,ustaz-ustazahku dan seluruh umat manusia sejagat dengan limpahan kurnia Rahmat dan hidayatMu kepada kami,
Engkau ampunkanlah dari segala dosa-dosa kami,Engkau tingkatkan  darjat kami disisiMu Ya Allah,Keimanan kami,ketaqwaan kami dan pengabdian kami padaMu Tuhan semesta alam yang maha Agung,Pengasih,penyayang dan maha mengampuni hamba-hambaNya yang  bertaubat dengan taubatan Nasuhah...Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsir al Quran: Ayat2 sujud
1. Surah Al A'raf ayat 206
[206]
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

2.Surah Ar-Ra'du ayat 15:
[15]
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
3.SurahAn-Nahl ayat 49:
[49]
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).
[50]
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.
4.Surah Al-Isra' ayat 109
[107]
Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);
[108]
Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): “Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. ”
[109]
Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
5.Surah Maryam ayat 58
[58]
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
6.Surah Al-Haj ayat 18
[18]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.
7.Surah Al-Haj ayat 77
[77]
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
8.Surah Al-Furqan ayat 60
[60]
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): “Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!” Mereka bertanya: “Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?” Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.
9.Surah An-naml ayat 26
[25]
“(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.
[26]
“Allah! – Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar “.
10.Surah As-Sajadah ayat 15
[15]
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
11.Surah Sod ayat 24
[24]
Nabi Daud berkata: ” Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).
12.Fussilat ayat 38
[37]
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.
[38]
Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesakanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu.

13.Surah An-Najm ayat 62
[62]
Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).
14.Surah Inshiqaq ayat 21
[21]
Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?
15.Surah Alaq ayat 19
[19]
Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!


No comments:

Post a Comment